Followers

Sunday, October 14, 2012

Syukurlah


Assalamualaikum. 2 entri untuk malam ini. 1 entri berkenaan kehidupan penulis, 1 lagi berkenaan apa yang penulis peroleh minggu lalu yang penulis rasa harus penulis berkongsi dengan semua pembaca.
Sedikit sebanyak, penulisan ini telah membuat penulis tersentak seketika.

INSPEKSI DIRI

“Sungguh sangat beruntung seorang yang masuk Islam kemudian mendapatkan rezeki yang secukupnya dan Allah menganugerahkan kepadanya sifat qana’ah (merasa cukup dan puas) dengan rezeki yang Allah berikan kepadanya”
Hadis Riwayat Muslim

Apakah itu qana’ah? Qana’ah adalah perasaan redha dan berasa cukup dengan pembahagian rezeki yang telah Allah SWT berikan kepada kita. Firman Allah dalam surah Ibrahim ayat ketujuh bermaksud, “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat kepada kamu dan jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azabKu amatlah pedih.”

Indahnya janji Allah. Sekiranya kita bersyukur, rezeki kita akan bertambah, namun sebaliknya, jika kita tidak bersyukur, nescaya kita akan memperoleh azabNya. Bersyukurlah kerana kita tidak akan mengalami sebarang kerugian. Walau bagaimanapun, ini bukan alasan untuk kita menjadi malas, sentiasa berasa puas dengan apa yang kita ada. Berusahalah ke arah kemajuan, kerana tanpa kemajuan, Islam akan ditindas. Tanpa kejayaan, umat Islam akan dipandang hina.

BAGAIMANA NAK TANAM?
Untuk memperoleh sifat qana’ah dalam diri, sentiasalah berdoa kepada Allah.







"Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibubapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal salih yang Engkau redhai dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang salih".

Sentiasa juga beringat bahawa segala sesuatu itu adalah milik Allah termasuklah sifat qana’ah, kekayaan, kejayaan, kesihatan mahupun kecantikan. Selain itu, lihatlah kepada orang-orang yang lebih malang daripada kita, yang tidak bernasib baik seperti kita, yang jauh lebih susah keadaanya.
Rasulullah SAW pernah bersabda,

“Lihatlah orang yang lebih bawah daripada kamu, jangan melihat orang yang lebih tinggi daripada kamu, kerana dengan demikian kamu tidak akan lupa segala nikmat Allah kepadamu.”

PERINGATAN AKHIR

Elakkan membandingkan diri dengan mereka yang lebih atas daripada kita kerana itu akan melahirkan sifat iri dan menjadikan kita alpa, lupa akan nikmat-nikmat yang telah dikurniakan Allah kepada kita. Tanamlah sifat qana’ah dalam diri. Berusaha untuk ada, namun tidak gusar jika tiada. Sesungguhnya kekayaan yang sebenar adalah kekayaan dalam jiwa.