Jam tiga.
Allahuakbar Allahuakbar~
Kuat suara Abang Luqman mendendangkan
azan. Aku terus merenung ke luar jendela, merenung jauh hingga ke awan biru.
Hati meronta-ronta, menjerit kemalasan. Fikir aku, “Aduh, baru hendak tidur,
dah masuk waktu pula,”
Lailahaillallah~
Tubuh aku masih kekal di atas katil.
Bunyi percikan air menghempas lantai kedengaran dari luar kamar. Sahabat-sahabatku
begitu rajin menunaikan solat. Mereka jarang melambatkan waktu. Malah, ada yang
tidak pernah lewat. Walaupun sekali.
Aku gagahkan juga hati ini untuk
bangun, walau dengan perasaan malas yang kuat memaksa diri untuk terus
berpeleseran di atas katil. Setiap langkah kaki ini seolah-olah menjadi berat,
seperti ditarik oleh adik-adikku sewaktu di rumah. Rindu pula keadaan di
Malaysia. Sedang kaki ini berjalan menuju ke anak tangga, setitik demi setitik
air mulai mencurah ke bumi.
Hujan. Awan menangis lagi. Angin
meniup seolah-olah memujuk.
Aku melihat ke luar rumah, mata ke terus memandang
ke langit. “Pintu lagi terbuka, doa senang makbul ni,” monolog ku sendirian.
Selesai salam, aku menolehkan kepala
ku ke kanan dan kiri. Terkumat-kamit semuanya memohon doa kepada Yang Esa.
Tiba-tiba, mataku tertangkap oleh seorang figura hebat yang selalu menjadi
kebanggaan ku. Tangannya dirapatkan, matanya terpejam meminta sesuatu daripada
Allah. Aku terus memerhati.
Tiba-tiba, air matanya menitis. “Eh,
kenapa dia nangis ya?” Termanguku seketika. Aku merapatkan diri dengannya
tetapi kehadiranku mungkin tidak disedari. Mata aku terus menatap titisan air
yang terus keluar dari kelopak matanya. Aku menjadi tertanya-tanya. Bingung. “Mungkin
dia ada masalah kut,” aku menjawab soalan yang aku ukirkan sendiri.
Kaki bersarungkan selipar jepun, berseluarkan
seluar coklat. Aku pulang dan terus melepaskan diri aku ke atas katil semula.
Lega rasanya. Penat yang ada seakan-akan hilang, masalah yang bergelumang di
benak seperti lesap di awangan. Sahabat aku masuk dan turut merebahkan
penggungnya bersebelahan denganku.
“Wan, kau nampak Ali kat masjid tadi?”
“Ha, nampak, kenapa dia? Menangis aku
tengok tadi. Dia ada masalah ke?”
“Tak adalah. Tadi dengan aku, dia ok
je. Kagum aku dengan dia. Begitu senang menangis depan Allah.”
Aku terdiam. Lidah seakan tidak mampu
berkata-kata. Terfikir aku sejenak akan apa yang dikatakan oleh Abu sebentar
tadi. Ali menangis depan Allah. Ali menangis, merayu kepada Allah. Dalam doa.
Dalam ibadahnya kepada yang esa. Aku? Nak ke masjid pun malas. Apatah lagi
melelehkan air mata di depanNya.
Hebat si Ali. Hebat juga di Abu. Kedua-duanya
begitu berusaha mendekatkan diri dengan Maha Berkuasa. Seolah-olah, esok tiada
lagi buat mereka. Aku kagum melihat mereka. Tatkala pulang selesai solat,
Al-Quran tujuan pertama mereka. Aku? Kalau tidak handphone, computer. Bukan itu
yang akan menjadi saksi aku nanti, tetapi kenapa aku tidak pernah sedar?
Ali. Bacaannya merdu, hafalannya lancar.
Abu? Terus gigih mengkaji, tekun meneroka ilmu Islam. Kini, mata aku tetap
merenung Ali yang baru sahaja pulang dari masjid. Karakternya di luar, seperti
kami, seperti yang lain, orang kata, gila-gila ayam. Tetapi dengan Tuhan? Aku
malu dengan mereka. Aku segan setiap kali perbualan kami berisikan dakwah,
kerana aku tahu, aku tidak standing mereka. Aku bangga punya sahabat seperti
mereka. Namun, kenapa tidak terdetik hati ini untuk menjadi seperti mereka?
-Bersambung-
2 comments:
Assalamualaikum.
Menunggu entry yg seterusnya.. "kita diberi kelebihan dan juga kekurangan.. Kekurangan dari cari, kelebihan dibaiki"
Me too.. Waiting for the next post:)
Post a Comment