Followers

Follow by Email

Tuesday, January 1, 2013

Usrah ?!



Assalamualaikum. Happy new year kepada semua pembaca. Bagaimana dengan azam 2012 yang lalu? Dah tercapai belum? Kalau belum, ayuh kita gandakan usaha, pastikan azam-azam tersebut terlaksana. Sebelum itu, sekadar renungan, semakin bertambah angka pada tahun, semakin bertambah usia kita, semakin dekat kita kepada mati. Maka, sedang kita mengejar azam yang telah kita tetapkan, jangan sesekali lupa kembali kepada Allah. Perbanyakkan amalan dan sentiasa beramal seolah-olah kita akan mati dalam waktu yang terdekat. Peringatan untuk penulis juga J

Semalam penulis pergi menonton filem 5cm (Indonesia), sangat menarik untuk dijadikan sebagai pengajaran. Sekiranya kita mempunyai impian, bayangkan impian itu hanya 5cm dari mata kita, sediakan kaki untuk lebih banyak bergerak, sediakan hati untuk lebih banyak bekerja, sediakan mata untuk lebih banyak melihat, sediakan leher untuk lebih banyak mendongak, dan sediakan mulut untuk lebih banyak berdoa, nescaya tiada impian yang mustahil untuk dicapai.



Usrah


Maksud usrah dalam bahasa Arab ialah keluarga. Sebagai istilah, usrah bermaksud satu program tetap yang dianjurkan oleh kumpulan yang bekerjasama untuk memahami dan menghayati Islam. Usrah kini menjadi satu trend, bukan sahaja di peringkat universiti, malah sudah mula bergerak dalam peringkat sekolah. Ini satu gerakan yang menarik sekiranya definisi yang digariskan di atas diamalkan. SEKIRANYA DEFINISI DIAMATI.

Namun yang menjadi masalah kini, golongan yang menyertai usrah kebanyakannya merasakan diri mereka sempurna, setiap yang dilakukan oleh mereka itu betul, dan yang dilakukan oleh golongan yang tidak menyertai usrah itu salah. Ini berdasarkan pemerhatian penulis sendiri yang turut sama menyertai usrah. Penulis tidak menjatuhkan kesalahan kepada semua anggota usrah, tetapi kebanyakan daripada mereka terlalu egois sehingga terlalu mudah menjatuhkan hukuman kepada orang yang tidak sehaluan dengan mereka.

Alahai sayangnya. Kepala berserban, berjubah putih, tudung labuh berseri-seri, tetapi konsep dakwah yang cuba disampaikan tidak kena pada tempatnya. Janganlah kita sangka kita betul dalam setiap perkara. Tiada manusia yang sempurna, sebaik manapun seseorang itu, selagi namanya manusia, selagi itu dia pasti melakukan dosa atau kesilapan. Jangan pula disangka orang yang tidak menyertai usrah itu salah setiap tindakan mereka. Menjadi satu kesilapan lebih besar sekiranya kita yang faham ini tidak membetulkan kesalahan mereka, sebaliknya menjatuhkan hukuman, menyebabkan mereka semakin takut untuk mendekati Islam.

Bagaimana orang akan tertarik dengan Islam?

Islam itu mencakupi seluruh aspek kehidupan. Ibadah bukan sahaja melibatkan puasa dan solat, malah makan, minum, tidur pun merupakan suatu ibadah sekiranya mengikut garis panduang yang telah ditetapkan dalam agama. Senang cerita, semua amalan harian kita adalah suatu ibadah. Walau bagaimanapun, masih terlalu ramai yang memandang Islam melalui skop yang terlalu sempit. Rigid. Yang itu haram, yang ini halal, yang itu berdosa. Benar, memang dalam Islam ada halal dan haram, tetapi berapa ramai yang faham kenapa Islam tidak membenarkan sesetengah perkara, berapa ramai yang faham kenapa arak itu haram, berapa ramai yang faham kenapa puasa itu satu kewajiban. Dalam konteks masyarakat kini, orang hanya fokus kepada boleh atau tidak melakukan sesuatu, tanpa usul periksa sebab kenapa sesuatu perkara itu boleh atau tidak dilaksanakan dalam Islam. Kurang pemahaman ini turut melibatkan orang yang menyertai usrah, sehingga semua yang orang lain buat itu salah. Terlalu mudah menghukum.


After thousand of our own mistakes, we never hate ourselves. But even a single mistake from others, we hate them till death.

Kan lebih baik?


Analogi

Penulis bawakan satu analogi. Seorang pemimpin sebuah organisasi sedang melaksanakan sebuah program. Dalam program tersebut, terdapat beberapa unsur jahiliyyah diterapkan tanpa disedari. Kita yang tahu dan sedar akan kesilapan itu, seharusnya menegur pemimpin tersebut agar dia sedar akan kesilapan dia. Walau bagaimanapun, yang berlaku kini, kita terus menjatuhkan hukuman, bercakap di belakang membenci tindakannya. Kalau sebegini, sampai sudah orang yang melakukan kesilapan itu tidak sedar akan kesilapan tersebut. Ha, salah siapa? Kita yang tahu, tapi tidak tegur, atau salah dia yang tidak tahu malah tidak ditegur?

SANGAT KECEWA.


Kalau kita tidak suka akan perbuatan yang dilakukan seseorang, maka seeloknya kita memikirkan cara supaya orang tersebut meninggalkan perbuatan yang dilakukan. Di sini lah dakwah memainkan peranan. Cara approach harus sesuai dengan orang yang perlu ditegur. Jangan bermain api dengan api. Niat tidak menghalalkan cara, dan percayalah, bercakap belakang bukanlah caranya. Jangan sedang kita ingin mencegah kemungkaran, kita pula ditimpa dosa dengan perbuatan mengumpat.


Alat

Usrah ini sebenarnya sejenis alat atau medium tarbiyyah agar cita-cita individu muslim yang ‘faham’ itu dapat dibentuk. Seterusnya, individu-individu muslim ini dapat bergerak, menyampaikan dakwah agar cita-cita terakhir iaitu ustadiyatul alam itu tercapai. Setiap insan bergelar muslim ada tanggungjawab masing-masing, makan jangan kita mengetepikan sesiapa pun, walau seorang, dalam usaha kita ke arah cita-cita kita itu. WAKE UP! Sertai usrah atau pun tidak, setiap orang akan disoal di akhirat kelak. Yang menyertai usrah ini mempunyai tanggungjawab yang lebih kerana mereka sudah memahami Islam dengan lebih dekat, maka jika mereka tidak melaksanakan apa yang telah dipelajari, bebanan yang ditanggung adalah lebih berat berbanding mereka yang tidak menyertai usrah.

Pokoknya, jangan pernah rasa diri kita sempurna. Sentiasalah bersangka baik dengan setiap manusia.

Tips

Di sini penulis sediakan sedikit garapan yang penulis peroleh daripada penulisan sahabat penulis, solihinmahadi.blogspot.com.

Tips ini datangnya daripada Syeikh Abdul Qadir al-Jilani.

Jika engkau bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu.
Ucapkan dalam hatimu:
“Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku”

Jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
“Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku”

Jika bertemu orang tua, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
“Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku”

Jika bertemu dengan seorang yang berilmu, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
“Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku”

Jika bertemu dengan seorang yang bodoh, maka katakanlah (dalam hatimu):
“Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia bodoh (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya. Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik dariku”

Jika bertemu dengan orang kafir, maka katakanlah (dalam hatimu):
“Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk"

Tambahan

Saja penulis nak tambah. Pesanan tambahan. Tak baik dengki-dengki ni. Relakanlah kebaikan atau kelebihan yang ada pada orang lain. Allah itu maha adil, setiap orang pasti ada kelebihan masing-masing, dan gunakanlah kelebihan-kelebihan ini di jalannya. Dengki ini sifat syaitan. Jauh-jauhkan ye? Peringatan untuk penulis juga.


Itu sahaja entri kali ini. Assalamualaikum J