Followers

Follow by Email

Thursday, June 6, 2013

PRU-13: SPR Menipu atau Difitnah?

Assalamualaikum WRT.

Setelah begitu lama menyepi, penulis rasa sudah tiba masanya tangan ini kembali memulakan rentak menyusun bait-bait kata untuk menghidupkan kembali blog ini daripada terus berdiam. Apa khabar sekalian pembaca? Sihat? Bagaimana iman? Semoga bercambah hendaknya.

5 Mei 2013. Sebuah kisah baru tertulis dalam sejarah negara kita Malaysia di mana PRU-13, the mother of all elections telah pun diadakan. Barisan Nasional (BN) terus memerintah negara kita dengan memenangi 133 kerusi, berbanding Pakatan Rakyat (PR) dengan 89 kerusi parlimen. Daripada peringkat DUN (Dewan Undangan Negeri) pula, PRU-13 kali ini menyaksikan negeri Kedah kembali ke tangan BN, manakala Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor terus menjadi kawasan pemerintahan PR. Secara ringkas, begitulah keputusan pilihan raya tahun ini.

Walau bagaimanapun, kehangatan PRU-13 tidak terus menghilang. Saban hari kita disajikan dengan kisah-kisah yang menceritakan penipuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang mengelola PRU-13. PR juga telah mengeluarkan petisyen sebagai bantahan terhadap keputusan PRU bagi beberapa kawasan yang terlibat.

Persoalan kini, pihak manakah yang benar? Adakah tuduhan terhadap SPR itu benar atau sebagai strategi politik pihak PR bagi memanipulasi kenyataan sehingga dapat menanam sifat syak rakyat Malaysia terhadap kewibawaan SPR?

Penulis mengambil keputusan untuk memperbanyak bacaan dari pelbagai media, termasuk sesi dialog bersama ‘orang dalam’ dan akhirnya, dari meja penulis, yang penulis dapat rumuskan adalah SPR TIDAK HARUS DIPERSALAHKAN.

Kenapa? Ayuh kita kupas satu per satu isu yang dibangkitkan.


ISU KEMASUKAN WARGA BANGLADESH

Daripada kenyataan Datuk Seri Anwar melalui laman web suarapakatanrakyat, dikatakan sejumlah lebih 40,000 orang pengundi hanta wujud dalam pilihanraya umum yang lepas. Dakwaan terhebat beliau apabila dikatakan pihak MAS (Malaysian Airlines) terlibat dalam membawa masuk warga Bangladesh ke Malaysia untuk membuang undi buat parti BN.

Dapat kita saksikan juga bagaimana terdapat beberapa warganegara Malaysia sendiri disalah anggap sebagai warga Bangladesh sehingga dibelasah teruk agen PR sewaktu PRU-13 yang lalu. Begitu bersungguh mereka untuk melawan pengundi hantu ini. TAHNIAH buat mereka.

Tetapi tidak lama kemudian, keluar kenyataan ini.

Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh hari ini menyifatkan dakwaan rakyatnya mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di Malaysia 5 Mei lalu sebagai tidak masuk akal. 
Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia, AKM Atiqur Rahman berkata, pejabatnya tidak mengetahui mengenai dakwaan tersebut.
"Propaganda mengenai rakyat Bangladesh mengundi dalam PRU13 hanyalah rekaan semata-mata oleh beberapa kumpulan yang mempunyai kepentingan tertentu," katanya kepada pemberita.
Menurutnya adalah tidak masuk akal bahawa seramai 40,000 warga Bangladesh dibawa masuk ke Malaysia seminggu sebelum pilihan raya berlangsung untuk mengundi.
Beranggapan ia sebagai 'manipulasi politik', Atiqur berkata, rakyat Bangladesh menjadi pengundi hantu bukan sahaja meletakkan rakyatnya dalam risiko, tetapi turut memberi imej negatif terhadap negara itu.
(Sumber: http://my.news.yahoo.com/kedutaan-nafikan-wujudnya-40-000-pengundi-hantu-bangladesh-084305504.html)

Malah sehingga hari ini, tiada bukti kukuh diserahkan kepada pihak polis bagi menguatkan kenyataan PR ini. Sudah sebulan PRU-13 berlalu, tak kan tiada bukti lagi kalau benar lebih 40000 warga asing membuang undi?

Semuanya adalah drama sebabak semata-mata.



P.S: Election workers adalah daripada kalangan rakyat sendiri. Adakah rakyat yang menipu dalam PRU13 yang lalu?


ISU DAKWAT KEKAL

Beberapa tahun yang lalu, SPR telah pun mencadangkan agar sistem biometric diguna pakai bermula PRU-13 dan selanjutnya. (Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MindaPengarang_Sistembiometriklangkahterbaikhapuskeraguanpembangkang/Article). 

Namun semua sedia maklum, PR menolok sistem ini dan bertegas agar SPR menggunakan kaedah dakwat kekal. Antara alasan yang dikemukan adalah penggunaan sistem biometrik ini tidak akan dapat mengatasi permasalahan pengundi hantu dan senang dimanipulasikan kerana sistem ini memerlukan pakar untuk melaksanakannya.

Namun apabila timbul isu dakwat kekal tidaklah begitu kekal, jari dituding ke arah SPR semula. Persoalan penulis, untuk menghasilkan dakwat kekal juga memerlukan kepakaran untuk dilaksanakan, selain itu, seperti dakwaan PR kini, dakwat kekal mudah dimanipulasi. Maka, kenapa pada awal tidak menolak kaedah ini?

Bukan itu sahaja, kalau benar sistem biometric ini tidak begitu berkesan, kenapa keluar masuk pintu negara (lapangan terbang) menggunakan sistem ini namun tidak mempunyai sebarang bantahan daripada pembangkang? Kenapa apabila melibatkan pilihan raya baru sistem ini ditolak?



ISU BLACKOUT

Penulis dapati pada 6 Mei 2013, ramai pengguna laman social seperti Facebook menggunakan layar hitam sebagai profile picture mereka, tanda bantahan keputusan PRU-13 yang khabarnya dimanipulasikan dengan isu blackout di sesetengah tempat pengiraan undi. Penulis terus mencari kesahihan terhadap berita ini.

Pertama, penulis menunggu serahan bukti PR kepada polis atau pihak mahkamah berkenaan hal ini. Namun sehingga hari ini, tiada. Yang ada, cuma laporan polis yang dibuat oleh beberapa orang rakyat pada sesetengah kawasan. "Jadi SPR perlu siasat mengenai laporan polis yang dibuat, walaupun satu tapi ini cukup membuktikannya," kata Rafizi Ramli pada sidang media di ibu pejabat PKR. Kata Rafizi, cuma satu laporan dibuat dan sudah cukup membuktikan segala-galanya. 1 laporan di 1 balai polis. Tetapi PR menyatakan bahawa blackout ini terjadi di merata-rata tempat, peliknya, mana laporan-laporan lain?

PIHAK TENAGA NASIONAL BERHAD (TNB) MENAFIKAN TIADA SEBARANG GANGGUAN BEKALAN ELEKTRIK KETIKA KERTAS UNDI SEDANG DIKIRA. (sumber: http://www.sinarharian.com.my/politik/isu-blackout-pkr-tampil-bukti-1.164397)

Penulis musykil juga. Kenapa? Menurut pegawai-pegawai SPR, juga sukarelawan yang terlibat, sewaktu pengiraan undi dijalankan, seharusnya diadakan di hadapan agen PR dan agen BN. Jika ada yang tidak berpuas hati, undi akan dikira semula dengan cara mengangkat dan menayang kertas undi di hadapan kedua-dua pihak. 1, jika betul blackout berlaku sehingga tidak kelihatan apa yang terjadi, bagaimana PR boleh membuat konklusi kertas undi utk BN bertambah? Kalau betul ada, bukti perlu diserahkan tetapi sehingga ini tiada bukti kukuh untuk hal ini. 2, jika betul blackout terjadi sehingga keadaan menjadi gelap gelita, bagaimana pihak yang membawa peti undi “extra” ini boleh menjalankan kerja mereka sehingga semuanya berjalan dengan baik? Dalam bahasa mudah, kalau orang lain tak nampak apa, tak kan mereka ni boleh nampak?


AKHIR KALAM


Penulis akhiri penulisan kali ini dengan seribu satu persoalan buat pembaca. Pembaca boleh membuat konklusi sendiri, sama ada SPR bersalah atau semua ini hanya fitnah semata-mata? Penulis hanya berharap, segala hujah yang dikeluarkan, biarlah bersama bukti agar ianya menjadi relevan. Kalau cakap sahaja, ibarat makan nasi tanpa lauk, mana nak sedap.

InsyaAllah, penulis akan cuba menangkis satu per satu fitnah yang tertimbul selepas ini.

Assalamualaikum. :-)