Andai
diberi dua alat, gunting dan pisau lipat untuk menceraikan sehelai kertas
menjadi dua, saya memilih pisau lipat. Saya yakin ramai akan memilih gunting,
tapi saya tidak menafikan pisau lipat juga mampu menceraikan kertas itu menjadi
dua. Bukan alat menjadi isu, tapi hasil akhir, iaitu untuk menceraikan kertas
tersebut.
Belia
pada hari ini menginginkan perubahan pada kerajaan. Yang bersuara, adalah
mereka yang mahukan pemerintah yang baru. Golongan ini kelihatan begitu
menonjol di media. Walau bagaimanapun, tidak kurang belia yang inginkan
perubahan, tetapi bukan pada kerajaan, namun dalam kerajaan. Golongan ini
kelihatan begitu pasif, tidak seperti golongan yang disebutkan tadi. Melihat
kepada keadaan ini, saya simpulkan ramai belia yang mahukan perubahan yang
lebih baik, yang membezakan cuma cara kea rah perubahan tersebut – menukar
kerajaan atau kekalkan kerajaan dengan penambahbaikan.
Di
situ lahir inisiatif untuk saya tubuhkan Generasi Pelapis Malaysia. Satu
organisasi yang mengumpulkan suara belia lalu disampaikan kepada kerajaan sedia
ada agar kerajaan tahu akan keinginan belia yang mahukan perubahan. Namun,
pernah saya ditanya, apa yang membezakan GPM dengan organisasi yang lain?
Perubahan
ke arah dasar dan konsep Islam. Saya mahukan konsep Islam ini disebatikan dalam
setiap tindakan kerajaan agar bukan sahaja membuahkan kebaikan kepada ummah,
tetapi yang paling utama memperoleh keredhaan dan keberkatan daripada Yang Maha
Pencipta. Saya berpegang kepada ayat “apabila ada kepincangan pada hubungan sesama
manusia, maka pasti ada kepincangan pada hubungan kepada Allah.” Hubungan
kepada Allah perlu dijaga, laksanakan yang diperintah, tinggalkan yang dilarang.
Apabila kita menjaga hubungan kita dengan Allah, nescaya akan terpelihara
jugalah hubungan kita sesama manusia.
Bukan
mahu mengatakan kerajaan tidak melaksanakan Islam. Pelaksanaan itu ada, tetapi
tidak menyeluruh. Orang akan fikir, Islam itu solat, puasa, zakat, haji, hudud,
namun sebenarnya Islam itu ad-deen. Setiap tindakan kita itu ibadah jika
dilaksanakan kerana Allah. Membantu golongan yang miskin, juga satu ibadah jika
kerana Allah. Belia yang faham akan menginginkan tujuan ini, dan untuk tujuan
ini terlaksana, perlunya teguran kepada pihak kerajaan agar mereka tidak
terlepas pandang dan peka akan tanggungjawab mereka, bukan sahaja kepada
rakyat, tetapi kepada Allah SWT.
Kenapa
inginkan perubahan? Tukar sahaja kepada pihak yang memang mahu perjuangkan
Islam.
Itu kata
segelintir pihak kepada saya. Namun saya persoalkan kembali, bagaimana mahu
sebuah kerajaan Islam jika individu per individu masih lagi tidak faham akan
hal ini? Individu membentuk kerajaan, maka kalau individu-individu ini tidak
faham, mampukah kerajaan Islam yang terbentuk akan bertahan lama? Individu
Islam sekiranya mereka faham akan peranan mereka, maka akan membentuk keluarga
Islam yang baik. Keluarga-keluarga Islam ini seterusnya akan membentuk sebuah
masyarakat yang faham akan Islam. Masyarakat Islam akan membentuk sebuah
kerajaan Islam yang kuat sebelum terbentuknya sebuah negara Islam. Impian saya
untuk melihat negara-negara Islam kembali bersatu membentuk khilafah Islam dan
akhirnya Ustaziyatul Alam. Persoalan saya sekali lagi, bagaimana kerajaan Islam
akan terbentuk sekiranya individu-individu muslim ini tidak dibentuk terlebih
dahulu?
Ah
kau, memandai-mandai je, ilmu agama bukan tinggi pun, ada hati nak ubah dalam
kerajaan.
Saya
menerima ejekan sebegini setelah menceritakan tujuan saya. Benar, saya bukanlah
arif dalam bidang ini, maka sebab itu juga saya membentuk GPM. Menghimpun suara
belia untuk perubahan dalam kerajaan. Suara belia bukan bermakna cuma seorang
dua, tetapi ribuan malah jutaan belia boleh mengendong aspirasi ini sekiranya
mahukan perubahan yang sama. Satu mungkin tidak mampu, tetapi kalau sudah
ramai, insyaAllah akan tercapai tujuan ini sekiranya diizinkanNya. Kata
Presiden Indonesia yang terdahulu, “Beri aku 1000 orang tua, nescaya akan
kucabut semeru dari akarnya. Beri aku 10 pemuda niescaya akan kuguncangkan
dunia.” Suara dan kuasa belia amat besar, kerana itu belia penentu masa depan
sesebuah negara. Lihatlah bagaimana Sultan Muhammad Al-Fateh pada usia muda
mampu menawan kota Constantinople. Saya tidak sehebat baginda, tetapi saya
melihat akan peranan dan kemampuan syabab dalam membawa satu perubahan.
Jadikan
GPM ini satu medan berdakwah. Satu medan untuk menyampaikan kebenaran, agar
terbentuk muslim, bukan Muslim. Apa bezanya? Muslim adalah orang Islam pada
nama, tetapi muslim adalah orang Islam yang bekerja untuk agama.
Bagaimana
dengan masyarakat bukan Islam?
Mudah.
Masyarakat harus bezakan Muslim dan Islam. Islam itu sempurna, yang membawa
jahiliyyah dan kerosakan adalah Muslim. Islam tidak pernah mengetepikan
golongan bukan Islam. Maka sekiranya terlaksana ciri-ciri Islam dalam kerajaan,
tidak akan terabai golongan bukan Islam.
Selagi
diberi kekuatan dan izin daripada Allah SWT, saya akan terus membawa GPM dengan
misi ini. Saya yakin sepanjang perjalanan ini, pasti ada kesalahan yang saya
lakukan. Maka saya membuka pintu seluas-luasnya untuk teguran jika ia dapat
membawa kita bersama lebih dekat kepadaNya. Barang siapa yang cuba untuk
mengambil kesempatan, saya tidak akan khuatir kerana sekiranya betol niat ini
kerana Allah, maka Allah akan lindungi dan mempermudahkan urusan ini. Semoga
GPM kekal relevan untuk masa depan negara dan Islam yang lebih baik.
InsyaAllah.
MUHAMAD SHAZWAN
BIN SAZALI
PRESIDEN GENERASI
PELAPIS MALAYSIA