Followers

Tuesday, January 21, 2014

Kenapa Saya Tubuhkan GPM?

Andai diberi dua alat, gunting dan pisau lipat untuk menceraikan sehelai kertas menjadi dua, saya memilih pisau lipat. Saya yakin ramai akan memilih gunting, tapi saya tidak menafikan pisau lipat juga mampu menceraikan kertas itu menjadi dua. Bukan alat menjadi isu, tapi hasil akhir, iaitu untuk menceraikan kertas tersebut.

Belia pada hari ini menginginkan perubahan pada kerajaan. Yang bersuara, adalah mereka yang mahukan pemerintah yang baru. Golongan ini kelihatan begitu menonjol di media. Walau bagaimanapun, tidak kurang belia yang inginkan perubahan, tetapi bukan pada kerajaan, namun dalam kerajaan. Golongan ini kelihatan begitu pasif, tidak seperti golongan yang disebutkan tadi. Melihat kepada keadaan ini, saya simpulkan ramai belia yang mahukan perubahan yang lebih baik, yang membezakan cuma cara kea rah perubahan tersebut – menukar kerajaan atau kekalkan kerajaan dengan penambahbaikan.

Di situ lahir inisiatif untuk saya tubuhkan Generasi Pelapis Malaysia. Satu organisasi yang mengumpulkan suara belia lalu disampaikan kepada kerajaan sedia ada agar kerajaan tahu akan keinginan belia yang mahukan perubahan. Namun, pernah saya ditanya, apa yang membezakan GPM dengan organisasi yang lain?

Perubahan ke arah dasar dan konsep Islam. Saya mahukan konsep Islam ini disebatikan dalam setiap tindakan kerajaan agar bukan sahaja membuahkan kebaikan kepada ummah, tetapi yang paling utama memperoleh keredhaan dan keberkatan daripada Yang Maha Pencipta. Saya berpegang kepada ayat “apabila ada kepincangan pada hubungan sesama manusia, maka pasti ada kepincangan pada hubungan kepada Allah.” Hubungan kepada Allah perlu dijaga, laksanakan yang diperintah, tinggalkan yang dilarang. Apabila kita menjaga hubungan kita dengan Allah, nescaya akan terpelihara jugalah hubungan kita sesama manusia.

Bukan mahu mengatakan kerajaan tidak melaksanakan Islam. Pelaksanaan itu ada, tetapi tidak menyeluruh. Orang akan fikir, Islam itu solat, puasa, zakat, haji, hudud, namun sebenarnya Islam itu ad-deen. Setiap tindakan kita itu ibadah jika dilaksanakan kerana Allah. Membantu golongan yang miskin, juga satu ibadah jika kerana Allah. Belia yang faham akan menginginkan tujuan ini, dan untuk tujuan ini terlaksana, perlunya teguran kepada pihak kerajaan agar mereka tidak terlepas pandang dan peka akan tanggungjawab mereka, bukan sahaja kepada rakyat, tetapi kepada Allah SWT.

Kenapa inginkan perubahan? Tukar sahaja kepada pihak yang memang mahu perjuangkan Islam.

Itu kata segelintir pihak kepada saya. Namun saya persoalkan kembali, bagaimana mahu sebuah kerajaan Islam jika individu per individu masih lagi tidak faham akan hal ini? Individu membentuk kerajaan, maka kalau individu-individu ini tidak faham, mampukah kerajaan Islam yang terbentuk akan bertahan lama? Individu Islam sekiranya mereka faham akan peranan mereka, maka akan membentuk keluarga Islam yang baik. Keluarga-keluarga Islam ini seterusnya akan membentuk sebuah masyarakat yang faham akan Islam. Masyarakat Islam akan membentuk sebuah kerajaan Islam yang kuat sebelum terbentuknya sebuah negara Islam. Impian saya untuk melihat negara-negara Islam kembali bersatu membentuk khilafah Islam dan akhirnya Ustaziyatul Alam. Persoalan saya sekali lagi, bagaimana kerajaan Islam akan terbentuk sekiranya individu-individu muslim ini tidak dibentuk terlebih dahulu?

Ah kau, memandai-mandai je, ilmu agama bukan tinggi pun, ada hati nak ubah dalam kerajaan.

Saya menerima ejekan sebegini setelah menceritakan tujuan saya. Benar, saya bukanlah arif dalam bidang ini, maka sebab itu juga saya membentuk GPM. Menghimpun suara belia untuk perubahan dalam kerajaan. Suara belia bukan bermakna cuma seorang dua, tetapi ribuan malah jutaan belia boleh mengendong aspirasi ini sekiranya mahukan perubahan yang sama. Satu mungkin tidak mampu, tetapi kalau sudah ramai, insyaAllah akan tercapai tujuan ini sekiranya diizinkanNya. Kata Presiden Indonesia yang terdahulu, “Beri aku 1000 orang tua, nescaya akan kucabut semeru dari akarnya. Beri aku 10 pemuda niescaya akan kuguncangkan dunia.” Suara dan kuasa belia amat besar, kerana itu belia penentu masa depan sesebuah negara. Lihatlah bagaimana Sultan Muhammad Al-Fateh pada usia muda mampu menawan kota Constantinople. Saya tidak sehebat baginda, tetapi saya melihat akan peranan dan kemampuan syabab dalam membawa satu perubahan.

Jadikan GPM ini satu medan berdakwah. Satu medan untuk menyampaikan kebenaran, agar terbentuk muslim, bukan Muslim. Apa bezanya? Muslim adalah orang Islam pada nama, tetapi muslim adalah orang Islam yang bekerja untuk agama.

Bagaimana dengan masyarakat bukan Islam?

Mudah. Masyarakat harus bezakan Muslim dan Islam. Islam itu sempurna, yang membawa jahiliyyah dan kerosakan adalah Muslim. Islam tidak pernah mengetepikan golongan bukan Islam. Maka sekiranya terlaksana ciri-ciri Islam dalam kerajaan, tidak akan terabai golongan bukan Islam.

Selagi diberi kekuatan dan izin daripada Allah SWT, saya akan terus membawa GPM dengan misi ini. Saya yakin sepanjang perjalanan ini, pasti ada kesalahan yang saya lakukan. Maka saya membuka pintu seluas-luasnya untuk teguran jika ia dapat membawa kita bersama lebih dekat kepadaNya. Barang siapa yang cuba untuk mengambil kesempatan, saya tidak akan khuatir kerana sekiranya betol niat ini kerana Allah, maka Allah akan lindungi dan mempermudahkan urusan ini. Semoga GPM kekal relevan untuk masa depan negara dan Islam yang lebih baik.

InsyaAllah.
MUHAMAD SHAZWAN BIN SAZALI

PRESIDEN GENERASI PELAPIS MALAYSIA