Assalamualaikum
Warahmatullah..
Salam
pertemuan sekali lagi kepada para pembaca. Sudah hampir dua bulan penulis
berada di bumi Jakarta, dan Alhamdulillah, semuanya sudah stabil di sini. Penulis
sudah selesa dengan keadaan di rumah, juga keadaan di kampus. Penulis juga akan
bersama-sama dengan ahli PKPMI (Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia
Indonesia) yang lain dalam menjayakan Jakarta Bogor Mini Games. Selesa, tenang,
namun something is missing. Kemanisan
ukhuwah yang penulis rasai dulu sangat sukar untuk punya pengganti. Semuanya
indah ketika di Cemara dulu.
Faham
Ada
orang mudah melafazkan kata, sukar melakukan tindakan. Ada orang senang
mengungkap kata-kata janji, tetapi untuk melaksanakan, jauh sekali. Ada orang
pandai bermain ayat, membuatkan sekeliling berasa terpujuk, namun ayat yang
diungkap tidak disertakan dengan tindakan. Penulis kagum kalau ada orang yang
kurang berkata-kata, tetapi lebih banyak bertindak. Action speaks louder than
words. “Aku sayangkan ukhuwah ini”, “Percayalah kau kawan aku yang paling baik”,
“Tak pernah aku jumpa kawan macam kau”, kata-kata yang sering kita dengar.
Tetapi sejauh mana kita faham akan ungkapan kita ini? Apabila kawan sedang
kesepian, adakah kita di sisinya? Apabila sahabat sedang kesedihan, sudikah
kita menghulurkan bahu? Sukar kita untuk mencari sahabat yang memahami. Lebih
ramai yang bersikap mementingkan diri sendiri, melakukan perkara yang disukai
sahaja. Sebagai contoh, Ali gemar bermain futsal. Satu hari, Ali telah
bercadang untuk bermain futsal namun sahabat baiknya sedang punya masalah.
Adakah dirinya sanggup membatalkan niat untuk melakukan perbuatan yang
disukainya itu? Sayang, ramai yang tidak memahami sahabat mereka. Lebih gemar
melakukan apa yang disukai, dalam masa yang sama, mengabaikan kawan yang
memerlukan. Kadang kala, ada sahabat yang punya masalah tetapi sukar untuk
menceritakan. Kalau benar kita sahabatnya, fahamilah jiwa mereka. Selami diri
mereka. Buanglah sikap pentingkan diri. Bukan semua orang seperti kita, kalau
benar kita hendak bersahabat, harus pandai blend in, jangan mengharap untuk
orang sentiasa mengikuti kita.
Janji
Kita
sebagai muslim sedar akan tanggungjawab kita sebagai manusia. Beribadah kepada
Allah selain bertindak sebagai khalifah. Penulis tertarik dengan khutbah jumaat
siang tadi. Kata khatib, kandungan hadis dan Al-Quran, hampir 80% menceritakan
hubungan sesama manusia. Betapa kita perlu juga menjaga hubungan dengan manusia
selain daripada hubungan dengan Allah. Penulis nak sentuh berkenaan janji.
Usah berjanji kalau tidak mampu untuk
tepati. Bagi sesetengah orang, walaupun janji tidak ditepati, mereka tidak
kisah atau begitu peduli. Namun ada sesetengah orang pula, janji, kecil
bagaimanapun, tetap janji dan jika tidak ditepati, mereka akan peduli. Kalau
kita jenis yang tidak kisah sesuatu janji itu tidak ditepati, jangan kita
samakan diri kita dengan orang lain. Berfikirlah sebegini, kalau dah janji,
haruslah ditunaikan, melainkan keadaan memang tidak mengizinkan. Walaupun janji
yang kecil. “Abu, nanti aku temankan kau pergi kedai.” Namun, selepas beberapa
minit, “Abu, aku penatlah, tak jadi lah ek, kau pergi sendiri boleh?” Walaupun
perkara kecil, janji tetap janji. Tunaikanlah, fikirlah akan perasaan orang
lain.
Renungan
“Tidak beriman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya
sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri”.
[Riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Kata
Ulama tidak beriman seseorang itu ialah tidak sempurna iman seseorang itu. Di
dalam kitab hadith 40 an-Nawawi yang di syarah oleh Imam Mahyuddin Yahya bin
Syarif an-Nawawi bahawa mengasihi saudara ini termasuklah yang kafir dan
muslim. Kewajiban kita mengasihi saudara kita yang bukan muslim supaya mereka
diberi hidayah oleh Allah untuk menerima dan memasuki agama Islam.
Kalau
dengan bukan muslim pun, kita punya kewajiban yang perlu dijaga, apatah lagi
yang muslim, apatah lagi yang telah kita suapkan dengan kata-kata janji, yang
telah kita hulurkan harapan. Penulis rindukan sahabat penulis yang jauh
daripada penulis. Penulis tidak pernah jumpa sahabat seperti mereka. Betol kata
orang, apabila depan mata, kita tak nampak, apabila dah tiada, barulah kita
terasa kehilangan. Bagi yang membaca, hargailah sahabat yang ada. Kalau ada
sahabat di kiri dan kanan, tataplah mereka, fikirlah, sanggupkah kita
mengecewakan mereka, sanggupkah kita melukakan mereka? Jika tidak, ambillah
tahu pasal mereka, hargailah mereka sementara waktu masih ada. Ada seorang sahabat penulis pernah berpesan, “sometimes,
the person who you hope the least will be the one who bring you into their arms
when you are in need”. Kalau ada sahabat yang tetiba macam diam, macam lain
macam tu, pergilah tanyakan khabar. Janganlah buat tidak tahu seolah-olah
mereka tidak wujud. EMPATI, hayati, mengerti dan fahami perasaan orang lain.
Sekian
sahaja daripada penulis. Sekadar perkongsian buat mereka yang menyayangi
sahabat mereka di luar sana, insyaAllah.
Assalamualaikum.